28 Apr 2011

Chapter 8 : Keputusan Positive Yang Mengelirukan

Lama saya tak update chapter kehidupan Siti Aisyah sebab agak sibuk dengan beberapa urusan. Baiklah, saya sambung untuk chapter yang seterusnya iaitu keputusan checkup Aisyah semasa di wad....

Sementara menunggu result semua tu siap, datanglah seorang wanita muda berbangsa cina. Perwatakan dia sungguh cute, pakai cermin mata dan dia bahasakan diri saya ni mummy. Lembut saja orang dia. Saya tengok macam doktor tapi rupa-rupanya Houseman. Mesti semua nak tau apa itu Houseman. Dulu saya pun main panggil orang doktor, semua orang yg lalu lalang kat hospital dan pakai kot putih saya panggil doktor. Rupa-rupanya ada pelbagai jawatan... dan salah satunya ialah Houseman, iaitu disebut sebagai haus-men..dan bukan haus-man.

Houseman ni adalah lepasan ijazah yang sedang bertugas di hospital untuk sekian tempoh. Selalunya mereka kelihatan seperti doktor muda dan akan selalu menerima arahan dari doktor yang kita nampak tua atau senior. Mereka akan di tag atau ditempatkan di satu-satu wad yang berlainan dalam sekian tempoh, contohnya 2 bulan. Lepas dah tamat tempoh bertugas di wad tersebut, Houseman tu kena pergi ke wad yang
lain pula. Ini adalah supaya houseman dapat menyesuaikan diri dan membina keyakinan diri untuk bekerja sendiri kelak.

Biasanya tempoh Houseman bertugas di PPUM adalah 2 tahun atau lebih, depend la depa lulus peperiksaan atau tidak. Lepas Houseman ni lulus peperiksaan, mereka akan layak bergelar Doktor...akan tetapi hanya sebagai doktor am dan bukan specialist lagi. Nak jadi specialist, depa kena sambung belajar ambik Master-bekerja di hospital-ambik peperiksaan. Lepas lulus baru jadi doktor pakar. Ha, sikit punya susah ka nak jadi doktor...byk stage depa kena lalui dan banyak yang depa kena belajar. Correct me if i'm wrong yea misi-misi PPUM yang sedang membaca ni...

Berbalik kepada cerita saya tadi, kami pun melalui sesi motivasi dan soal jawab bersama Houseman ni. nama dia saya dah lupa la, kalau ada

misi yang ingat, tolong bagitau, nanti saya update dalam blog ni. Buat masa ni saya akan panggil dia sebagai HO. Ho ni pun tanya la soalan dan jawapan saya adalah seperti dibawah ini:

Berapa umur Aisyah?
45 hari atau 1 bulan 15 hari

Dimana Aisyah dilahirkan?
PPUM

Berapa berat Aisyah waktu dilahirkan?
3.6kg

Berapa berat Aisyah sekarang?
4.0kg

Bila last Aisyah ambil suntikan baby?
Suntikan yang pertama saja, suntikan 6 minggu sepatutnya hari ni tapi belum ke klinik.

Aisyah ada muntah-muntah sebelum ni?
Ada

Aisyah pernah sesak nafas?
Tidak

Aisyah pernah penat minum susu?
Ada

Aisyah pernah kebiru-biruan?
Tidak

Aisyah pernah demam?
Tidak

Aisyah ke sini hari ni untuk apa?
Untuk check kuning, kemudian doktor kat bawah dengar murmur kuat, sebab tu dia suruh masuk wad untuk further check up.

Ada sesiapa dalam keluarga sakit kencing manis, darah tinggi, etc etc?
Tiada

Ada sesiapa dalam keluarga ada masalah jantung?
Ada, ayah Siti Aisyah.

Oh yea ke..masalah apa tu?
Jantung Berlubang tapi hanya ada satu lubang dan sudah patch waktu umur 12 tahun di IJN.

Daddy (Ho tu panggil daddy, panggilan untuk ayah pesakit) kena buat followup lagi ke?
Tidak

Daddy ada ingat tak ASD atau VSD?
Hmm tak tahu sebab waktu tu kecil lagi.

Lepas tu HO tu dok catit-catit segala jawapan tu dalam rekod Aisyah..Kemudian HO tu kata, dia dah pasangkan line untuk Aisyah, jadi sekarang kena tunggu doktor yang incharge bahagian jantung untuk bacakan result. OO...jadi dia yang pasang line Aisyah rupanya. Waktu tu rasa lega la sikit sebab tengok dia memanglembut orangnya. Dia kata susah nak cari urat Aisyah sebab tangan dia tembam jadi urat-urat tu sembunyi.

Selepas HO tu dah puas hati mencatit segala maklumat, dia pun tinggalkan kami tiga beranak untuk berehat. Ya la kan, penat ke sana ke mari buat test. Lagi kesian kat Aisyah sebab dia kena cucuk la, scan la, x-ray la, ecg la...haihhh...kesian dia kena lalui semua test tu serentak dalam masa satu hari. Nasib baik la Aisyah ni jenis senang tidur, dan dalam katil kecil baru dia di hospital ni pun, Aisyah dapat tidur dengan lena. Lega hati sikit... tak gaduh sunggu anak saya yang ni.Alhamdulillah.....

Rasa-rasanya, lebih kurang 1-2 jam selepas tu datanglah seorang doktor wanita yang lebih tua sikit dari HO tadi. Berbangsa cina juga dan pakai spek mata. Nama doktor ni pun saya dah lupa tapi yang saya ingat doktor ni incharge bahagian cardiac (pronouns as kadiaq') paedatric.

Cardiac ni adalah bermaksud "Having to do with the heart." Tak kisahla apa-apa pun perkara tapi asalkan berkaitan dengan jantung, maka akan dipanggil cardiac.

Doktor tu pun datang la dengan senyuman yang manis sekali. Tersenyum tersengih, tersenyum tersengih.... hati kami berdua suami isteri pun rasanya keputusan Aisyah ni macam ok jer ni. Tapi sesampainya dia kat depan kami, dia kata keputusan Aisyah dah keluar dan memang positive dia ada masalah jantung berlubang. Dari keputusan scan dan echo, mereka dapat nampak ada 2 lubang.

Jadi sekarang mereka akan mulakan rawatan untuk jantung Aisyah dengan tiga suntikan ubat jantung. selepas itu Aisyah akan mula menerima beebrapa jenis ubat dan merekan akan melihat perkembangan dalam diri Aisyah. Sekiranya badan Aisyah dapat menerima kesan dari ubat itu, Aisyah boleh balik dengan bekalan ubat tetapi sekiranya tidak, rawatan susulan atau alternative akan diberikan. Buat masa ini, mereka akan focus untuk rawatan ubatan dahulu.

Ya Allah, pada waktu ni memang saya tak tahu apa yang perlu dikatakan. Luluhnya hati seperti diramas berkecai seperti kertas-kertas halus...., sendatnya dada bagai nak bernafas pun rasa pedihnyaaa ya Allahhhh.... Saya tahan nafas supaya tak menitis air mata. Saya harus kuat supaya Sheikh juga kuat menerima semua ini. Disebalik wajah Sheikh saya nampak sedikit kekecewaan dan kesedihan..... Hati ayah mana yang tak sedih ketika mendengar berita sebegini, kan? Tapi saya berbangga kerana dia tidak down sama sekali. Dia tabah mendengar... Waktu tu sempat lagi saya berdoa sepenuh hati agar kami kuat menghadapi dengan dugaan ini.

Saya tanya doktor, berapa besar kedua-dua lubang tu, dia kata satu yang paling besar ialah 7cm dan satu lagi ialah 3.5cm. Setiap lubang ada di bahagian atas dan bawah atau lebih dikenali sebagai ASD dan VSD. Doktor tu kata lagi, hati Aisyah membengkak sehingga 4@6cm kesan daripada jantungnya itu. Kalau tak ada apa-apa soalan lagi, dia minta diri dulu katanya.

Apa itu ASD dan VSD?
Atrial septal defect (ASD) repair

* The atrial septum is the wall between the left and right atria (upper chambers) of the heart. There is a natural opening before birth that usually closes on its own when a baby is born. When the flap does not close, the child has an ASD.
* Sometimes ASDs can be closed without open-heart surgery. First, the surgeon makes a tiny cut in the groin. Then the surgeon inserts tubes into a blood vessel that go into the heart. Next, 2 small umbrella-shaped "clamshell" devices are placed on the right and left sides of the septum. These 2 devices are attached to each other. This closes the hole in the heart. Not all medical centers do this procedure.
* Open-heart surgery may also be done to repair ASD. Using open-heart surgery, the septum can be closed using stitches, or sutures. Another way is to cover the septum with a patch made of membrane or a man-made material.

Ventricular septal defect (VSD) repair

* The ventricular septum is the wall between the left and right ventricles (lower chambers) of the heart. A hole in the ventricular septum is called a VSD.
* By age 8 for most children with this problem, small VSDs often close on their own and do not need surgery. This depends on where the hole is.
* Larger VSDs, small ones in certain parts of the ventricular septum, or ones that cause heart failure or endocarditis (inflammation) need open-heart surgery. They also require placing a man-made patch over the hole to cover it.
* Some septal defects can be closed using heart catheterization (passing a thin tube into the heart).

Resource: http://www.umm.edu/ency/article/002948.htm


Nak tahu tentang bayi jantung berlubang? Disini saya berikan sedikit info mengenainya.

Bayi Jantung Berlubang (Congenital)
oleh Bintu Rasyada A. Rahman (http://www.sihatselalu.com.my/2010/12/bayi-jantung-berlubang-congenital.html)

Biasa disebut jantung berlubang, CHD (Congenital Heart Disease) berlaku apabila terdapat kerosakan pada struktur jantung dan saluran utama sejak bayi dalam kandungan lagi. Banyak jenis kerosakan jantung berlaku, kebanyakannya sama ada menghalang aliran darah dalam jantung atau saluran berhampiran dengannya atau menyebabkan darah mengalir dalam jantung pada arah yang berlawanan.

Menurut Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia, satu dalam setiap 100 bayi yang lahir di negara ini berkemungkinan mengalami masalah jantung. Dengan purata 500,000 kelahiran setiap tahun, dianggarkan 5,000 bayi di Malaysia berisiko menderita sakit jantung kongenital setiap tahun.

Secara global pula, insiden penyakit jantung kongenital di kalangan bayi yang baru dilahirkan berlaku antara 4 hingga 9 bagi setiap 1,000 kelahiran. Justeru setiap tahun, terdapat hingga 1.5 juta kes seluruh dunia.


Genetik

CHD merupakan penyakit yang disebabkan warisan (genetik) dan juga persekitaran. Jika ibu atau bapa mempunyai penyakit ini, bayi yang dilahirkan mempunyai risiko 10% mengalaminya.

Selain itu, faktor persekitaran antenatal termasuk jangkitan ketika mengandung (rubella), pengambilan alkohol atau dadah tertentu dan penyakit seperti kencing manis dan SLE turut menyumbang kepada permasalahan.

Bagaimana Ia Dikesan?

Bayi yang mengalami kecacatan jantung boleh dikesan ketika di dalam kandungan (bagi kes major) dan juga ketika dilahirkan (kes minor). Ujian ultrasound ketika ibu sedang mengandung mampu mengesan sebarang keganjilan pada denyutan jantung. Ia boleh dikesan seawal usia 4 bulan.

Rentak normal jantung adalah 'lup dup' dan jika ia berlainan seperti 'lup cup', bererti terdapat kecacatan pada jantung tersebut.

Biru dan Tidak Biru

Bayi CHD dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu bayi biru dan tidak biru (blue dan non-blue baby).

Bayi tidak biru menghadapi masalah lubang pada jantung atau masalah dengan injap atrial. Jenis yang paling banyak ditemui adalah kecacatan septal ventrikular (VSD) dan atrial septal defect (ASD).

Bayi biru pula mempunyai masalah halangan yang menyekat pengaliran darah ke paru-paru (tersumbat).

Simptom

Antara simptom yang biasa ditemui dalam kes kecacatan jantung kongenital adalah :

* jantung berbunyi (murmur)
* cyanosis (biru di badan atau muka)
* kesukaran menyusu
* nafas kencang
* berat badan tidak bertambah secara normal
* pendarahan

Jika ibu bapa mendapati anak mereka mempunyai simptom yang dinyatakan, dinasihatkan membawa ke klinik berhampiran dengan segera untuk pemeriksaan. Jika terdapat kemungkinan masalah jantung major, bayi tersebut memerlukan pembedahan segera.


Ujian

Terdapat beberapa ujian yang dapat dijalankan untuk menentukan jika bayi atau kanak-kanak mempunyai masalah jantung.

Ujian ECG (electrocardiogram) akan dijalankan untuk memantau denyut jantung dan menentukan sama ada ia normal atau sebaliknya.

Imbasan sinar-X dada juga mungkin dilakukan untuk melihat jika jantung membesar (bengkak) atau mempunyai masalah paru-paru. Ujian echocardiogram (ultrasound jantung) pula dapat mengesan beberapa kecacatan struktur jantung.

Terdiam kami dengar penerangan dari doktor ni. Senyum jer dia dari tadi. Kami pun keliru yang amat.... apa doktor ni sedang berikan berita gembira kah, atau gembira sedih... apa kami patut buat selepas dengar semua ini? menangis kah... ketawa kah.... Tapi yang pasti, Aisyah akan bermalam dihospital untuk 1 atau 2 minggu lagi....

Maka petang itu Aisyah mula menerima ubat jantung yang disuntik ke dalam line yang di set oleh HO tadi. Aisyah pun dah stop minum melalui mulut. Ada nurse yang datang berikan susu melalui tiub yang akan terus ke perut. Nurse tu kata, ini adalah bertujuan untuk merehatkan jantung Aisyah semasa minum susu. Bila Aisyah tidak menggunakan tenaga semasa menghisap susu, jantung Aisyah dapat rehat sewaktu dalam rawatan dan mempercepatkan proses rawatan juga. Mula-mula tengok nurse tu bagi susu melaui tiub tu, rasa suspen jugak. Rasa takut pun ada. Saya tepuk-tepuk Aisyah untuk dia rileks dan jangan menangis. Sebab kalau menangis, susu tak dapat masuk dalam perut. jadi saya tepuk-tepuk dan usap2 paha Aisyah untuk dia rasa selesa. Alhamdulillah, Aisyah tak meragam. Lepas minum susu, tak lama lepas tu dia tidur. Bagusnya budak ni tidur... :)






Sheikh temankan saya dan Aisyah sampai jam 10 malam, baru dia balik. Tu pun sebab kesian kat Rafiq duduk kat rumah pengasuh lama sangat. Mesti dia tertunggu-tunggu papa dan mama dia datang ambik. Sorry ya Rafiq, mama kena tinggal di hospital dengna Aisyah. Rafiq tidur dengan papa yea nanti.....Esok sheikh ambil cuti katanya sebab nak datang jumpa doktor pakar cardiac dan dengar penerangan yang lebih lagi.

Sesungguhnya pada malam itu, saya tidur dengan hati yang aaaaaamat pilu namun tiada air mata yang keluar untuk saya tangisi. Waktu itu saya berfikir, buat apa untuk menangis kerana ini bukan kecelakaan....., ini juga bukan pula kemalangan... tetapi - ini adalah ujian. Ujian dari Allah SWT direct kepada saya dan Sheikh. Dan kami harus bersyukur. Itu yang perlu dilakukan. Bersyukur kerana anak saya masih ada disisi dalam keadaan sihat. Aisyah tidak tenat, dia masih sihat walafiat. Allah SWT tidak mengambilnya dari kami pun, jadi kenapa kami harus sedih menangis terlesak-esak? Allah SWT hanya sekadar memberikan 2 lubang kepadanya yang masih boleh diubati! InsyaAllah...

Dan Jika saya ingin menangis malam ini, saya harus menangis kesyukuran kerana Allah SWT sudi untuk menyedarkan kami supaya bersujud kepadaNya. Untuk kami berfikir kembali kenapa diturunkan ujian sebegini rupa kepada kami. Semua ini mesti bersebab dan tidak ada satu kejadian pun berlaku kepada hambanya tidak mempunyai apa-apa makna. Cuma kita saja yang buta hati untuk melihat nikmat yang diberikannya.....


~Terima kasih atas sokongan pembaca semua, termasuk silent readers. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali. Setidak-tidaknya dapat kita berkongsi ilmu yang mungkin berguna untuk seseorang.
20 Apr 2011

Chapter 7 : Perjuangan Aisyah Telah Bermula

Sambungan pada post mengenai Perubahan dan Kematian.

Tibalah hari yang kami nanti-nantikan iaitu hari appointment untuk followup Aisyah. Macam biasa pagi tu kami hantar Rafiq ke rumah babysitter dia, Kak Ida dulu. Pagi tu macam biasa, kami kena sampai awal sebab nak berebut nombor giliran. Kali ni doktor tak ada apa-apa conference sedang berlangsung, jadi dalam jam 8.30-9.00 pagi tu nombor giliran pun bergerak dengan pantas.

Sampai ja giliran nombor Aisyah, kami pun masuk la bilik pemeriksaan. Bilik yang sama macam hari tu. Doktor pun sama, nurse pun sama jugak. Doktor tu pun suruh baringkan Aisyah atas katil dan suruh buka baju. Doktor tengok Aisyah dia kata kuning Aisyah dah turun dengan mendadak, dan tanya apa yang saya buat. Saya pun cakap la yang saya try stop menyusu badan. Terus doktor tu terkejut. Dia kata kenapa buat macam tu, selalunya kuning akan berhenti sendiri dan ibu tak perlu berhenti menyusu. Saya pun diam jer. Dalam hati saya cakap sendiri, apa yang penting saya nak Aisyah cepat sembuh. Bukannya nak berhenti terus menyusu. Tapi tu cakap dalam hati la, mana berani cakap kat doktor. Nanti tak pasai-pasai kena berletiaq. Baik diam saja.

Lepas tu doktor tengok bahagian dada Aisyah. Selak ja baju, terus doktor tu tanya dah berapa lama Aisyah bernafas macam ni..Saya pun pelik la, bernafas macam mana...selalu ok saja. Doktor tu pun tunjuk la dada Aisyah turun naik dengan cepat dan ada gelehuk ke dalam sehingga menampakkan kesan kehitaman. Doktor kata ini menunjukkan Aisyah memang susah hendak bernafas. Aduhai, terus saya tengok muka Sheikh. Kami terkedu la sekejap.

Ya Allah, time tu saya betul-betul rasa terkilan sebab saya tak pernah perasan keadaan Aisyah macam tu. Selalunya lepas mandi, saya akan terus sapukan bedak, sapukan minyak panas dan cepat-cepat pakaikan baju sebab tak mau Aisyah sejuk. Tak pernah pula saya belek-belek dada dia...

Doktor tu pun dengar murmur kat jantung Aisyah pakai stetoskop. Dengan serta merta doktor tu cakap murmur tu kali ni dengar dengan jelas. Very clear. Aduhai...kami suami isteri saling berpandangan. Memang terkedu kami dibuatnya. Tapi waktu tu doktor cakap, bunyi murmur ni ada banyak sebabnya. Memang bersangkutan dengan jantung tapi doktor tu belum tentu apa yang menyebabkan bunyi murmur tu. Jadi doktor mahu Aisyah dimasukkan ke dalam wad dan buat pemeriksaan lengkap iaitu x-ray, echo jantung (echokardiografi) dan ECG (Resting electrocardiogram).

So disebabkan Kak Ta hari tu dah pernah pesan untuk prepare brang-barang kot-kot in case AIsyah kena masuk wad, jadi kami tak berapa nak panic la. Doktor pun suruh Aisyah masuk wad supaya test-test tersebut cepat dilakukan dan result pun boleh dapat immediately. Jadi kami pun setuju dan tak risau sangat. Dalam kepala otak kami, Aisyah masuk wad sebab nak cepat buat test, cepat dapat result dan cepat juga lah kami dapat balik rumah nanti.

Lepas dah setuju semuanya, nurse pun bawa fail Aisyah dan tunjukkan kami jalan menuju ke wad. Kami kena masuk wad Paeds 2 kat tingkat 3, Menara Timur. Semasa berjalan tu kami berdua tak banyak cakap. Seolah-olah sedang berlakon untuk nampak cool. Kami masing-masing seolah-olah cuba untuk sembunyikan perasaan sebenar pada waktu itu. Ya Allah, amat berat langkah hanya Tuhan yang tahu. Macam-macam benda berlingar dalam fikiran. Tapi pada waktu tu, mulut kami seakan-akan terkunci. Kami hanya mengikut saja apa yang doktor dan nurse suruh buat.

Sampai saja di wad Paeds 2, kami disambut oleh seorang misi yang sungguh comel. Nak sebut nama dia kat sini takut dia marah pulak. Misi ni memang friendly. Sementara kami menunggu doktor incharge bahagian jantung datang, misi tu bagi motivasi dulu. Dia tunjukkan katil no 10 adalah untuk Aisyah dan ibu atau ayah (salah seorang) boleh temankan. Misi tu bagitau la kat mana bilik air, waktu lawatan pukul berapa dan sebagainya. Yang best partnya, lepas dia bagitau peraturan bagai, dia kata "itu peraturan jer tapi kami kat sini tak kisah pun. Ayah boleh jer datang melawat bila-bila masa. Janji tak bising-bising dan ganggu pesakit lain". Hmmm tersenyum kami dengar. Oleh kerana saya bersalin 2 kali kat PPUM, saya dan Sheikh tak kekok dengan peraturan dan environment PPUM ni. Boleh dikatakan kami selesa dan tak takut dengan cerita-cerita dogeng pasal misi yang garang. Semua tu tak betul pun. kat Paeds 2 ni semua misi memang ok. Kalau ada yang garang pun, itu seolah-olah leteran ibu kita kat kampung bunyinya. Leteran untuk kebaikan....

Lepas dah bermotivasi bagai, misi tu pun minta kebenaran untuk set line pada Aisyah. Terkebil-kebil kami pikir apa kebenda set line ni tapi saya benarkan juga misi tu ambil Aisyah. Jadi tinggallah kami berdua di katil. Salingberpandangan lagi. Nak cakap salah, tak cakap pun salah. Sheikh suruh saya bersabar saja. Untuk elakkan dari saya bermuka sedih, saya ubah topik pasal beg-beg baju Aisyah yang Sheikh perlu ambil nanti...Dalam 10-15 minit baru la Aisyah dipulangkan kepada kami. Time tu barulah saya dapat tau yang set line tu, depa nak cucuk jarum untuk isi air nanti. Tapi saya dapati ada la pulak benda tambahan yang depa buat iaitu ada tiub kat hidung Aisyah. Saya pun tanya la kenapa bubuh benda ni, misi tu cakap nanti Aisyah kena minum susu ikut tiub ni sebab dia penat. Jadi doktor nak rehatkan jantung dia sekejap semasa buat test-test nanti.

Kat bawah ni gambar-gambar pertama Aisyah selepas set line yang disebut-sebutkan tadi...kesiannnn Aisyah. Aisyah nampak sangat tak selesa dengan tiub kat hidung dia tu. Tapi nak buat macam mana kan....saya pun pikir dalam hati lagi, macamana Aisyah nak minum susu nanti...nak buat macamana ya...





Sedih hati tengok banyak plaster kat muka dan tangan Aisyah. Tapi saya gagahkan hati jangan menitikkan air mata. Saya lemparkan senyuman pada Sheikh yang pada waktu tu turut senyum tapi pahit saja senyuman dia. Sheikh kata, kesiannya kat anak papaaa....sambil sapu-sapu tangan Aisyah. Waktu tu saya tahu Sheikh sedih sangat-sangat.

Saya nampak ada lelehan air mata kat mata Aisyah. Menangis sakit masa cucuk jarum la tu..tapi waktu misi hantar dia tadi Aisyah tak nagis pun. Misi tu cakap dia menangis sekejap ja. Lepas tu dah ok. Haih.... kuat betul anak mama ni....

Sementara tunggu sorang lagi misi bawa kami pergi buat test-test, misi yang sejak dari tadi layan Aisyah tu datang lagi bawa satu mesin kecil. haih...dalam hati saya ni kata mesin apa pulak dah....Misi tu lekatkan wayar kat ibu jari kaki Aisyah dan sambungkan ke mesin tu. Saya dah lupa nama mesin tu tapi mesin tu bertanggunjawabkan untuk memberitahu kadar peratus oksigen dalam badan Aisyah. Bila on jer power, misi tu kata AIsyah ok ni sebab tanpa bantuan oksigen, mesin tu tunjuk 96 ke 100%. Katanya lagi, jika bawah dari 95%, itu menunjukkan bahwa pesakit itu mengalami gangguan dan perlu diberikan bantuan oksigen untuk membantu dirinya pbernafas dengan baik. Kira Aisyah ok la tahap tu. Hati kami ada sedikit kelegaan...sempat lagi saya pikir dalam hati, nanti-nanti boleh balik ni.....ni gambar Aisyah dan mesin tu.



Tunggu punya tunggu, datanglah sorang misi untuk bawa kami buat test-test yang disebutkan tadi. Kami pun soronglah Aisyah dalam "katil hospital kecik" tu dari tingkat 3 Menara Timur, turun naik lif, sampai ke tingkat 1 (1 @2, tak ingat pulak ) Menara Utama utk buat echo, exray dan ecg...lama la jugak kami tunggu ... sampailah selesai semua test, misi tu suruh kami balik ke wad sendiri sebab diorang nak tunggu result ecg. result tu lambat sikit, takut kami tak larat tunggu lagi. So kami pun soronglah Aisyah balik ke wad Paeds 2. Dan, macam biasa...kami tunggu lagi sambil berpandangan sesama sendiri. Nak main dengan Aisyah pun tak sampai hati sebab dia dah bertampal muka dan berbalut tangan...Jadi apa yang perlu kami buat ialah tunggu dan lihat dengan harapan, result nanti menunjukkan Aisyah ok dan boleh balik...

Result test Aisyah akan saya ceritakan di post akan datang. Dah pukul 1 pagi ni, saya nak tidoq dulu...
14 Apr 2011

Chapter 6: Perubahan dan Kematian

Kembalinya kami dari bercuti Hari Raya, kami mula perasan yang Aisyah ni makin kerap muntah susu. Sebelum ni memang dia muntah tapi selalunya macam semasa atau selepas mandi, dimana time tu saya rasa maybe dia menangis sebab kena air. Pernah juga Aisyah muntah selepas minum susu, time tu saya ingat maybe saya suap dia terlebih susu atau dia dah terlampau kenyang...

Tapi lepas balik raya ni dia makin sangat la kerap muntah tak kira la sebelum/semasa/selepas mandi. Dan juga dia kuat sangat menangis bila s.e.d.a.n.g minum susu. Seolah-olah dia tengah lapar gila tapi puting susu tu masuk susu laju..dan seolah-olah macam dia tak sempat nak bernafas semasa minum. Jadi keadaan Aisyah time tu macam penat minum susu dan dia kena berhenti kejap selepas setiap hisapan.

Masa balik raya hari tu, mak saya pernah tegur banyak kali, kenapalah anak hang ni bernafas kuat sangat.Malah kak saya sendiri pun pernah tegur pasal Aisyah bernafas kuat. Depa semua risau. Time tu saya deny lagi ... saya kata budak kecik memang nafas kuat. Hari tu pi jumpa doktor pun doktor kata tak da masalah apa-apa, kuning dia pun tak serius. Nanti-nanti ok la tu.

Tapikan sebenarnya..nak bagitau macamana ya...sebenarnya saya pun perasan Aisyah bernafas kuat, selalu muntah susu tapi bila dia selalu cool, senang tidur, tak kuat merengek, tak buat perangai, minum kerap, buang air kecil & besar elok.... jadi saya selalu bercakap dengan diri saya sendiri yang Aisyah tak ada apa-apa malasah. Itu cuma masalah kecil saja. Selagi Aisyah nak minum, tak demam, tidur elok dan buang air kecil & besar normal, selagi tu la saya percaya yang Aisyah sihat.

Dan bila kuning Aisyah makin hilang, saya dan Sheikh senang hati la sikit. Kami siap pi bawa Rafiq dan Aisyah pi jalan-jalan KLCC lagi. Ya la kan, saya pun dah habis pantang, Aisyah pun dah makin sihat, Rafiq pula dah lama tak berjalan-jalan semenjak saya pantang. Enjoy pi KLCC, no problem.

Ingat tak yang doktor PPUM suruh bercuti raya dulu, nanti lepas raya buat followup checkup? Ha... nak dijadikan cerita, malam sebelum appointment tu kawan saya waktu kecik-kecik dulu telefon. Kami ni dah lama lost contact. Uda namanya dan dia perempuan yea :). Uda pun bagitau la yang dia jumpa mak saya time raya dan dapat tau yang anak saya kuning lama. Jadi dia telefon la tanya kabar dan pada masa yang sama nak bagitau yang anak dia yang ketiga baru meninggal dunia pada raya ke 2 @ 3 baru-baru ni (Saya tak brapa ingat hari ke berapa). Umur anak Uda 2 bulan which is sebulan tua dari Aisyah. Punya la saya terkejut. Ya Allah, kesiannya kat Uda. Uda kata dia sekarang ada kat kampung sebab tengah cuba untuk menerima kenyataan. Dia terlalu rindukan anak sampaikan dia masih tergiang-giang suara baby nangis minta susu... sebak nada suara Uda time tu tapi Uda masih mampu tahan dari menangis.

Lepas Uda dah tenang sikit, saya pun tanya la apa sebab kematian baby dia. Dia pun cakap la mula-mula anak dia dok penat dan muntah-muntah dekat seminggu. Lepas tu anak dia mula demam...sampaila ke hari raya pun demam lagi. Sehinggakan sampai Uda dah balik ke KL pun demam anak dia tak kebah-kebah juga. Waktu tu Uda dan suami baru ja sampai di rumah dari beraya kat Penang. Depa sampai waktu tu tengah malam dan memang dalam kepenatan . Ya la kan, perjalanan dari Penang ke KL ambil masa 4-5 jam. Kalau naik kereta dengan Sheikh, ambil masa 3-4 jam saja sebab kereta kami ada button tukar kereta jadi pesawat berkuasa tinggi. Ok berbalik pada cerita Uda..Sesampai saja kat rumah Uda tengok anak dia demam lagi dan dia pun rasa tak sedap hati dah. Dia ajak la suami dia pergi klinik terdekat tapi suami dia cakap sekarang dah tengah malam, esok saja la kita pi awal-awal pagi ke hospital...Uda pun dalam hati tak kena terpaksa la setuju. Malam tu pun Uda tidur macam biasa sehingga lah jam antara 3-4 pagi Uda terbangun sebab dah sampai masa nak bagi susu untuk anak dia. Dia pun pegang la anak dia tapi ada yang tak kena. Diam saja... Dia check dada anak dia dah tak bergerak. Ya Allah terkejut Uda tengok anak dia macam tu. terus dia kejutkan suami dia dan bergegas pi hospital KL...Wkatu tu hanya Allah saja yang tau perasaan Uda. Dia kejut anak dia tak henti-henti. Anak dia pucat ... Uda cakap lutut dia dah lembik tapi dia gagahkan juga dukung anak dia ke hospital tu. Sesampai ja kat hospital, doktor terus bawa masuk emergency dan check. Uda dan suami tak henti-henti doa pada Allah untuk selamatkan anak depa.

Tapi sesayang mana Uda pada anak, sayang lagi Allah SWT pada mereka. Doktor keluar dan mengesahkan anak Uda sudah meninggal sejak di rumah lagi. Suami Uda terus histeria dan meraung kat situ juga. Uda terkejut, sebak dan terlampau sedih sampai pengsan. Ya Allah dugaan mereka ini lagi hebat. Maha HEBAT. Saya yang dengar dalam telefon tu berdebar-debar dengar cerita dari Uda. Dalam kepala tu dah ada beberapa soalan yang saya nak tanya lagi.

Lepas tu Uda sedar dari pegnsan dan suami pun dah tenang, doktor bagitau punca kematian ialah disebabkan heart failure.... failure sebab apa, Uda tak bagitau la pula. Tapi yang pasti, disebabkan jantung. Saya pun tanya la soalan pada Uda dab begini la soal jawab kami lebih kurang yang saya ingat:

Saya: Anak Uda selalu ka muntah-muntah?
Uda: Selalu muntah.

Saya: Anak Uda selalu ka batuk?
Uda: Yea, ada batuk.

Saya: Masa minum susu penat tak?
Uda: Penat dan selalu berhenti2 waktu minum susu.

Saya: Anak Uda ada peluh tak waktu minum susu?
Uda: Rasanya ada. Anak Uda kan demam.

Saya: Uda...anak kak intan pun macam tu la Uda. Penat2 dan muntah2 susu tapi tak demam. Dia nampak macam penat waktu minum susu...
Uda: Ya Allah kak Intan...betul ka? Kak Intan...kalau kak intan sayangkan anak kak intan...tolongla pi hospital terus. jangan tangguh-tangguh lagi macam kami. Suami Uda tu jadi histeria dan tak dapat terima kematian anak kami sebab dia yang tangguh nak ke hospital. Kami memang redha kak, tapi rasa terkilan ada juga. Pi la hospital esok kak intan. Tolonglah pi....(Uda cakap ni dalam keadaan merayu-rayu kat saya. Ya Allah pilunya hati bila teringat balik perbualan kami time tu.)

Saya: Ya uda, memang kebetulan esok kami ada appointment. esok kak intan pi ok.

Masa kami cakap tu, tiba-tiba Aisyah menangis nak susu...

Uda: Kak Intan, tu suara anak kak intan ka?? Ya Allah suara dia macam suara anak Uda la...rindu nyaaa Uda kat diaaaa (sambil menangis teresak-esak)

Puas saya nasihatkan dia suruh banyak bersabar...tapi saya faham. Uda perlu banyak menangis untuk menghilangkan perasaan rindu pada anak dia tu. Tak adil rasanya kalau saya nak suruh dia jangan nangis sebab itulah satu-satunya cara untuk dia melepaskan segala-galanya... Dan Allah SWT itu maha Mengetahui dan Maha Mengasihani hambanya. Allah berikan ujian, supaya hambanya mengerti akan kesedihan dan kembali ingat kepadaNya. Kemudian Allah akan berikan sifat lupa dalam diri hambanya supaya mereka dapat teruskan kehidupan.

Lepas kami dah habis bercakap dalam telefon tu..saya cerita pada Sheikh pasal Uda tu. Dia simpati sangat-sangat kat Uda dan cakap esok jugak kita pi hospital dan jangan postpone appointment tu sebab kami pun dah rasa tak sabar nak tahu keputusan checkup echo murmur tu.

Malam tu kami tidur dalam jaga. Saya rasa takut sangat nak tidur dan selalu saya tengok dada Aisyah ada turun naik ke tak. Kadang-kadang saya bangun rapatkan telinga kat Aisyan sebab nak dengar nafas dia. Sheikh pun ada bangun dan check tengok Aisyah. Kesimpulannya, kami memang tidur tak lena malam tu.

Bawah ni hanyalah gambar hiasan....
13 Apr 2011

Chapter 5 : Aisyah Sempat Beraya Aidilfitri Di Kedah

Sambung dari post yang lepas...

Baliknya dari PPUM tu, kami punya la lega dengan keputusan kuning Aisyah. Tiba-tiba terlintas di kepala akan cerita salah sorang kak ipar saya. Dulu anak dia pun pernah kena kuning lama tak hilang-hilang. Semua dia dah ikhtiar sampai lah last sekali dia pi jumpa sorang doktor bernama Acaran atau nama IC dia, Hacharand. hahaha. Suka-suka hati ja aku ni sebut nama orang.

Doktor ni ada mentioned kalau jaundice disebabkan oleh susu ibu, doktor tu suruh cuba berhenti menyusu badan selama 3 hari dulu atau sehingga kuning drop. Lepas kuning dah turun baru sambung menyusu semula. Semasa tidak menyusu badan, susu ibu tu harus dipam dan disimpan dalam peti ais. Esok-esok boleh bagi kat baby dalam botol bila dah sambung menyusu badan. Tetapi, ada beberapa kes dimana bila ibu berhenti menyusu badan, kuning akan menurun dan ada kes tiada apa-apa perubahan pun berlaku.

Saya pun ada google dan jumpa ni:

If your baby develops jaundice that seems to be from breast milk, your doctor may ask you to temporarily stop breastfeeding. During this time, you can pump your breasts so you can keep producing breast milk and you can start nursing again once the condition has cleared.

Sumber dari: http://kidshealth.org/parent/pregnancy_center/newborn_care/jaundice.html#

Lepas pikir punya pikir, sebelum ni Aisyah memang fully breastfeed. Dan berkemungkinan besar kuning dia disebabkan susu saya. Sheikh tanya betul ke nak try sebab nurse-nurse dan misi-misi kat PPUM tu suruh saya teruskan menyusu jangan berhenti. Time tu perasaan saya agak macam dah tak keruan nak buat apa. Memang la dah confirm dia prolong jaundice tapi sampai bila nak biarkan Aisyah tu kuning tak berkesudahan. Kesian pun ada sebab tak lama lagi dah nak raya. Takan Aisyah nak raya dalam keadaan muka kuning?... kesian kat dia...Jadi saya jawab kat Sheikh yang saya tekad nak try 3 hari dulu lepas tu nak tengok perubahan. Kalau tak da apa-apa perkembangan, saya akan sambung menyusu macam biasa semula. Time tu memang berserah pada Allah SWT saja.

Keesokan harinya saya pun mula bagi formula pada Aisyah dan dia memang baghos sebab tak memilih susu. Semua jenis susu dia minum. Pagi-pagi sebelum jam 9 macam tu ada la jemur Aisyah di cahaya matahari pagi yang ala-ala suam panas gitu... 24 jam dah berlalu Aisyah tetap macam tu jugak, lali asyik tidoq saja. Kuning kat muka dan badan pun masih sama ja. Hrmmm...Sila lihat aksi kuning Aisyah dibawah iaitu beberapa hari sebelum hari raya. Kuning muka dia sampai nampak kulit gelap.




Hari kedua, tetap teruskan guna susu formula. Ada nampak perubahan sedikit...tapi hati ni tak mau la confident sangat sebab dah dekat sebulan dok tengok muka dia kaler kuning saja. Jadi bila ada perubahan sikit-sikit tu, kami tak berapa nak perasan sangat. Sheikh ada la tegur ma-cam ada kurang sikit.. kami terus tetap tawakal pada Allah.

Well..kan dalam post yang lepas saya ada bagitau sebelum kami balik dari klinik PPUM, doktor ada pesan suruh datang appointment sebelum balik cuti raya Aidilfitri kan....nak dijadikan cerita saya tak berapa sihat pada hari tu. Ya la, saya ni dalam pantang tapi sepanjang waktu berpantang ni asyik dok keluar jalan pi klinik dan hospital. Jadi badan tak berapa nak sedaplah.

Oleh kerana kami tengok keadaan Aisyah macam chan-tek ja perubahan dia, kami pun nak postpone appointment tu. Tak sempat kami telefon PPUM nak tukar tarikh, doktor sudah telefon kami dulu. Dia tanya kenapa tak datang...Saya pun cakaplah tak sihat. Jadi dia nasihatkan suruh datang lepas cuti raya Aildilfitri selama 1 minggu sebab dia nak confirm pasal murmur tu dan nak tengok perubahan kuning Aisyah.

Sebelum doktor mengakhiri perbualan kami, dia pesan sekali lagi, sekiranya Aisyah didapati salah satu: kerap muntah, kebiruan, demam atau berpeluh ketika minum susu, kena segera datang ke hospital. Orait, kami pun noted lagi...

Maka kami pun pulanglah bercuti di Kedah untuk beraya. Di Sungai Petani kami perasan Aisyah dah semakin cerah dan kuning semakin kurang. Jadi kami pun pi la buat test di Path Lab Bakar Arang. Servis memang terbaik, dah la murah dalam RM15 jer kot, keputusan lengkap dalam 15 atau 30 minit saja.

Sheikh yang pi ambik result, kami 3 beranak tunggu dalam kereta. Dari jauh nampak muka Sheikh berjalan ke kereta masam ja. Masuk dalam kereta dia suruh teka result Aisyah. Saya kata turun dari 200 ke 160 ke? Dia bagi result tu, buka ja tengok..MasyaAllah, turun ke 90 lebih kurang (tak berapa igt exact keputusan tapi yg betulnya kurang dari 100 la). Rasa macam nak meloncat dengan Aisyah time tu. hahaha.

Punya la syok beraya. Rafiq pulak yg buat hal, dia tak mau pakai baju teluk belanga. Aduhai..rugi beli baju tu. Pakai 5 minit untuk tangkap gambar saja yang dan pun. Aisyah? Dia ni memang the coolest princess ever. Dia rilek saja bila sarung baju apa pun. Tak banyak songeh. Very the good.




Lepas 5 hari beraya dan kuning Aisyah memang confirm makin hilang...kami pun cukur la rambut Aisyah. Rambut dia punya la tebal sampaikan mak bidan tukar mata pisau banyak kali. Masa cukur kepala tu Aisyah ada la nangis sampai muntah-muntah, mak bidan cakap banyak kahak ni. Saya bagitau la Aisyah ni memang selalu muntah kalau nangis. Time tu memang tak fikir lagi akan pesanan doktor tu...syok beraya kat kampung la katakan. Gambar Aisyah sebelum nak cukur ada tapi sejurus lepas cukur tak ada sebab Rafiq dah delete dari telefon. Haihhh... Ni saja gambar yang ada pun...



Cuti raya di kampung kami akhiri dengan kenduri cukur kepala Aisyah. Maka habislah licin kepala Aisyah dari rambut yang lebat. Sehari lepas tu kami pun balik ke Kuala Lumpur.

Lepas balik raya ni lah, kami dapati perubahan pada diri Aisyah. Saya sambung tulis pasal ni esok ya...
12 Apr 2011

Chapter 4 : Keputusan Prolong Jaundice

Pagi-pagi lagi kami bertiga beranak dah sampai di PPUM. Rafiq awai-awai lagi dah hantar kat rumah babysitter dia, Kak Ida. Terima kasih banyak la kak sebab sudi jaga Rafiq untuk time-time macam ni. Bukan apa, kalau bawak Rafiq banyak kerja tak jalan.

Lepas parking, terus pi klinik kanak-kanak dan jumpa dengan Kak Ta. Semalam sebelum datang PPUm Kak Ta dah janji nak tolong ambik nombor dan tolong ekspress-kan queue sebab kesian kat Aisyah nanti dia kena tunggu lama-lama. Tenkiu Kak Ta.

Kami sampai jam 7.45, register, pastu Kak Ta perkenalkan kami dengan collegue-cologue satu batch dengan dia. Nurse-nurse kat situ semua friendly dan baik-baik. Nasib baik lagi..hehehe..kedebak kedebuk, jam 8.30 lebih kurang dah siap. Bukan siap check, baru siap register nama dan timbang berat Aisyah.... Kami dapat la no pertama tapi nak dijadikan cerita, para doktor-doktor semua ada conference pulak dah. Jam 10 baru nak setat. Aduhai, kesian kat Kak Ta tunggu dengan kami dari tadi sampaikan dia tak buat kerja, Last-last kami paksa dia tinggalkan kami. Sebelum dia pi, sempat lagi la dia nasihat kat nurse cina tu sorang suruh tengok-tengokkan kami ni.

Jam 10.15 pagi lebih kurang, baru la doktor setat tekan nombor. Maka keluar la nombor keramat kami. Kat dalam bilik tu ada sorang doktor perempuan, Serani. Nama dia, lupa sudah..Maaf ya puan doktor. Lepas dia semak-semak rekod dalam komputer, dia kata dia nak mulakan dengan check murmur dulu lepas tu baru pasal jaundice atau demam kuning.

Doktor tu pun baringkan la Aisyah dan buka baju dia. Dia tenung dada Aisyah lama-lama. Semua yang dalam bilik tu diam belaka. Nurse sorang tu pun dok diam dan tenung dada Aisyah. Diam lagi... Pastu dia letak stetoskop di dada Aisyah, muka dia berkerut-kerut sambil dengar bunyi jantung. Suspen jer kami laki bini.

Kebetulan, ada sorang doktor perempuan melayu masuk bilik tu. Nak tanya pasal apa ntah, dah lupa. Siap tak puas hati lagi, doktor Serani tu panggil doktor Melayu tu try dengar pulak. hrmmm...saya tunggu ja, kot-kot la doktor tu nak panggil suruh saya try dengar pulak kan...haishhh.

Lepas tu baru la dengar diorang cakap, Doktor Serani tu tanya, "You dengar tak?". Kemudian doktor Melayu tu kata,"Tak ada apa-apa pun. I tak dengar pun." Lepas tu doktor Melayu tu pun keluar. Haih..time tu lega dengar diorang tak dapat kesan bunyi murmur tu. Ya la..semalam doktor pakar kanak-kanak nama Sarshi tu pun dah bagitau yang murmur Aisyah ni perlahan sangat. Antara dengar tak dengar....Jadi ini mungkin perkara biasa untuk kanak-kanak. Senyum kami berdua tanda lega. Sebenarnya lebih kepada sengih kambing...hehe.

Kemudian baru la doktor tu check kuning Aisyah dengan ambil darah dalam 5 ml dan sampel urine. Dia kata, keputusan boleh dapat hari ni juga sebab kami datang awal. So kami kena la tunggu kejap.

Mengenai murmur tu, doktor tu cakap dia tak dapat kesan. Bunyi tu kejap ada, kejap tak ada. Dah jadi macam biskut chipsmore pulak dah. Tapi walau bagaimanapun, doktor tu buat sesi soal jawab dengan kami;

Doktor: Aisyah kerap muntah?
Saya: Ya

Doktor: Aisyah pernah biru-kebiruan bila muntah?
Saya: Tidak

Doktor: Aisyah kerap batuk?
Saya: Jarang-jarang

Doktor: Aisyah kerap penat sewaktu minum susu?
Saya: Kurang pasti tapi Aisyah memang kurang minum sebab kuning ni. Aisyah selalu tidur ja.

Doktor: Aisyah berpeluh ketika minum susu?
Saya: Tidak

Doktor: Aisyah pernah demam?
Saya: Tidak

Lepas tu doktor tu kata walaupun murmur tu perlahan tapi dia tetap nak buat Echocardiography (Echo) tapi sayang session dah penuh. So dia ada tetapkan satu tarikh sehari sebelum balik cuti Raya Aidilfitri. Kena datang sebelum cuti tu. Ok, kami pun setuju.

TETAPI sekiranya Aisyah didapati salah satu: kerap muntah, kebiruan, demam atau berpeluh ketika minum susu, kena segera datang ke hospital. Orait, kami pun noted.

Kemudian keputusan kuning Aisyah pun sudah siap....kuning dia normal dan hanya prolong jaundice. Kadar kuning yang cair dan tidak bahaya. Kencing dia pun tak kotor, tiada kuman. So Aisyah boleh balik rumah. Yahooooooo!
11 Apr 2011

Chapter 3: Apa itu murmur

Malam tu juga, lepas buka puasa, saya terus buka pc cari makna murmur. Tadi kat hospital, angguk-angguk macam paham tapi sebenarnya habuk pun tak tau. Google punya google, jumpa satu:


Murmurs are extra heart sounds that are produced as a result of turbulent blood flow that is sufficient to produce audible noise. Most murmurs can only be heard with the assistance of a stethoscope ("on auscultation").

Sumber dari http://en.wikipedia.org/wiki/Heart_murmur

Hmm apa benda yang ditulis tu. Tak paham, so cari lagi....jumpa ni:

What is a heart murmur?

A heart murmur is just a noise that the blood makes as it flows through the heart. It's like the noise water makes when it flows through a hose. Many healthy people have heart murmurs. About 80 percent of all children have a heart murmur at some time.

What is a "normal" heart murmur?

Most heart murmurs don't mean there is anything wrong. Your doctor may call these murmurs "innocent" or "functional." "Normal" is another word to describe these murmurs. A normal murmur is just a noise caused by blood flowing through a normal heart.

A normal murmur can get louder when the blood flows faster through the heart. For example, when the body's temperature goes up, the blood flows faster. Doctors often hear heart murmurs when they check children who have a fever. Many normal murmurs become hard to hear as children grow older. Some murmurs just go away.

Sumber dari http://www.aafp.org/afp/990800ap/990800f.html

hooookay....... lepas baca ni saya dah freakout. Shutdown PC dan terus tengok tv. Tapi kepala hotak ni dok terfikir-fikir juga tentang artikel tadi. Terus bagitau kat Sheikh pasal ni. Dia kata kita sabar ja lah dan berdoa. Mana la tau kot-kot bunyi yang doktor tu dengar bunyi kahak ja ka yang banyak...Kita tunggu esok ja la. Hmmm betul jugak...sambil-sambil tu kami dok bincang lagi pasal doktor tu ada kata mur mur Aisyah tu "perlahan sangat bunyinya", haa dan artikel tadi ada jugak kata "Some murmurs just go away". Gee. okay....dah kurang suspend dalam hati :)

Tapi seriously, saya masih blur-blur lagi dengan murmur ni. Saya masih lagi dok risau pasal kuning Aisyah. Esok Kak Ta kata akan buat banyak ujian kat Aisyah untuk check tahap kuning dia...

Sambil main-main dengan Aisyah...dan Rafiq, saya prepare la baju-baju dan barang-barang in case kena masuk wad. Haih, time tu dah la dalam pantang lagi dah mcm tak pantang sebab kelam kabut dengan kuning Aisyah yang tak kebah-kebah. Rafiq tu asyik main-main jer dengan Aisyah yang tak tahu apa-apa. comel!


Chapter 2: Lahirnya Siti Aisyah pada Sabtu 7/8/2010 8.26 malam

Setelah lama menanti, akhirnya Siti Aisyah dilahirkan dengan normal seberat 3.6kg di PPUM. Memang dia keluar bulat sangat. Pendek dan bulat macam mama dia...hehehe.

Waktu tu syukur tak terhingga kerana confirm anak perempuan. Sebelum ni bukan tak percaya pada scan doktor-doktor tapi Allah SWT Maha Kuasa, apa-apa saja boleh terjadi kan? Syukur. Keluar jer Aisyah dari perut, terus Nurse potong tali pusat dan buat suction kat hidung dan mulut dia.

Semua saya nampak sebab dia buat kat sebelah kiri saya ja. Nurse lap sikit-sikit pastu suruh saya menyusu. Haisey....masa tu melekit-lekit lagi badan Aisyah dengan warna kelabu tapi sebab kasih sayang ibu ni meluap-luap tengok monteknya, terus jer menyusu. No hal. hahaha.






Kami berdua terpaksa dok kat PPUM 3 hari sebab saya demam. Hari ketiga sepatutnya keluar dah tapi ditahan sebab Aisyah kuning.



Lepas seminggu dok hospital,kuning turun sikit... baru dapat keluar. Alhamdulillah...

Ingatkan panas berpanjangan tapi hujan di tengahari... Di rumah, kuning Aisyah tak hilang-hilang. Bermacam-macam petua dah buat tapi kuning dia statik ja...Akibatnya, Aisyah tidur ja. Lali sungguh sampaikan waktu minum dia tak mau buka mulut. Sedih, penat, buntu semua ada. Petua melayu, cina, india, eropah, semua dah cuba tapi tetap sama ja...

Sampailah hari yang ke 30 baru kami bawa ke hospital, PPUM. Jumpa Kak sepupu saya, Kak Ta Matron PPUM bahagian Emergency. Pok pek pok pek dia berleter sebab lambat bawa hospital. Macam-macam lah kena tapi kami senyum ja. Nak kata apa lagi dah, dah memang kami tak mau bawa sebab bila bawa klinik atau hospital ja, cucuk kaki ambil darah. Dulu tu masa minggu ke 2dan 3, klinik ambil darah sampai pecah tumit kaki Aisyah, sebab tu la kami stop bawa dia ke klinik/hospital. Sebab Kesian.

Kak Ta terus bawa kami ke bahagian emergency kanak-kanak. Jumpa Doktor Pakar nama Sarshi. Dia check-check, pastu cakap-cakap dengan Kak Ta bahasa hospital la..mur mur la, apa la. Kendian Kak Ta dok angguk-angguk. Kak Ta kata esok pagi-pagi mai klinik, doktor suruh mai untuk check kuning dan doktor ada dengar sedikit bunyi mur-mur kat jantung Aisyah. Mur-mur tu bunyi perlahan sangat tapi esok pagi perlu datang check dalam klinik sebab dalam klinik tu boleh check dengan lebih detail untuk mengesahkan bunyi tu. Untuk Kuning, jangan risau sebab memang ada baby prolong jaundice. Tapi esok pagi bawa sekali baju dan barang-barang Aisyah sebab ada kemungkinan dia kena admit ward.

So, saya pun buat-buat la faham tentang mur-mur yang dikatakan tu. Cerita la kat husband tentang mur-mur, dia terdiam. Kami sama-sama berdoa sambil balik rumah. Tapi takut juga sebab kenapa Kak Ta suruh prepare masuk wad? hmm..kami masih musykil tapi kami teruskan berdoa agar semua selamat esok harinya.
10 Apr 2011

Chapter 1: Perjalanan Siti Aisyah Bermula Disini

Ramai kawan-kawan yang selalu tanyakan khabar Siti Aisyah, anak kedua dalam hidup kami. Dari hari ke hari akan ada kawan-kawan yang baru tahu akan keadaan Aisyah pasti akan tanya soalan 'betui ka?, sejak bila? macamana boleh jadi? dulu tak dapat detect ka?... macam-macam soalan.... dan kadang-kadang soalan demi soalan diajukan tak kena pada masanya...contohnya time2 kami tengah risau, sedih...hmmm.
Tapi kami tak salahkan orang, mereka tak tau apa2 pun..kami yang perlu bersabar..,dan kalau nak tahu bagaimana Aisyah dan kami sekeluarga lalui semua itu....di dalam blog ini saya akan ceritakan satu per satu perjalanan Siti Aisyah...sehinggalah sekarang, si jantung hati kami itu, dengan izin Allah SWT, berjaya harungi ujian dan dugaan.

Rasanya saya suka untuk mulakan dengan pertemuan pertama kami :)
Pada tarikh 22/5/2010...masa tu kandungan saya dalam 27 minggu adalah masa yang elok sangat-sangat untuk buat scan 4D. Memang best sangat la nak buat scan time tu... Hafiz, kawan satu ofis Sheikh ada rekemen satu klinik ibu mengandung yang buat scan 4D dalam RM150 saja. Ya, memang murah. Apalagi, kami terus pi la. Saya, Sheikh dan Rafiq memandu dari Sri Damansara ke Cheras, sebab klinik tu dekat dengan rumah Hafiz. :)

Alhamdulillah, time tu semua berjalan dengan lancar, baby (which is Aisyah) tak tidur..dia berjaga dan dok golek2 tunjuk muka la, buka tangan la, hisap jari la...macam2 action dia buat. Very fotogenik. Doktor tu pun dapat la snap gambar banyak. Best betul. Doktor pun suka. hahahaha.

Dan...time tu doktor dapat tunjuk baby ni perempuan jantinanya, cukup sifatnya dan memang s.i.h.a.t. Tak ada apa2 masalah. Time ni Allah Maha Berkuasa tak mahu tunjuk lagi apa-apa tanda dan Dia izinkan kami sekeluarga bergembira dalam perjalanan pulang. Allah SWT mahu saya sebagai ibu menikmati pengalaman mengandungkan Aisyah dengan berbaik-baiknya tanpa rasa runsing atau semak kepala. Ya Allah, Engkau memang Maha pemurah dan Maha mengetahui. Sesungguhnya saya memang amat bersyukur dengan kandungan itu,  tambahan pula anak perempuan yang akan Kau kurniakan dan menjadikan keluarga kami lengkap dengan sepasang anak.,, Ya Rabbi...Saya amat-amat-amat bersyukur pada malam tu.

Kami pun balik rumah dengan suka hati bersama CD yang dalamnya ada berlambak gambar baby ... dan time tu jugak la saya senyum sendirian, terasa excited sangat sebab dapat tgk muka Aisyah. walaupun tak clear tapi ... ish ... tak tau la nak bagitau perasaan time tu. Orang utara kata chewi...hahaha. Cuba tengok gambar 4D kat bawah ni.


 



 

Blog Template by BloggerCandy.com