29 Jun 2011

Chapter 12: Perpindahan

Terima kasih kepada yang sabar menunggu walaupun dalam hati mencebek-cebek kenapalah Intan ni tak update blog Aisyah ni kan…maaf beribu ampun, untuk pengetahuan semua, saya sibuk dengan urusan Aisyah…hehehe. Macam biasa, saya akan ceritakan dalam blog ini kemudian hari.

Untuk chapter kali ini seperti yang saya janjikan, saya akan menceritakan mengenai kesan apabila Aisyah sudah tidak memberi tindak balas ke atas ubat-ubat jantung yang diambil dan perpindahan yang berlaku dalam tempoh 1 minggu lebih kurang.

Setelah 5 hari Aisyah berapa di PICU dengan bantuan BiPap untuk mengembangkan kembali paru-parunya, Aisyah pun dipindahkan kembali ke wad biasa tapi masih di katil yang sama. Alhamdulillah, dapatlah saya peluk cium cubit-cubit bagai walaupun dia masih lagi memakai tiub oksigen yang kecil di hidung dia tu… Satu lagi wayar yang menyukarkan saya bebas kesana kemari dengan Aisyah ialah wayar yang lekat di kaki Aisyah untuk bacaan kadar oksigen dan saturation dia tu. Haih, sabar jer lah.

Selang beberapa hari jangkitan paru-paru Aisyah sudah semakin baik. X-ray pun dah menunjukkan paru-parunya sudah mengambang jadi katil pun sudah boleh ditukar ke bahagian yang tidak kritikal lagi. Hoyae! Seronok la tak terhingga bila kena tolak katil ke belakang. Dalam hati masih lagi menyimpan harapan untuk Aisyah dan saya pulang. Maka perpindahan katil telah pun berlaku dari katil no 1 kepada no 11 kembali. Syukur…

Selepas Aisyah berpindah katil dan beransur pulih dari infection paru-paru, doctor dapati Aisyah masih menunjukkan kesan yang tidak baik. Dos ubat jantung dia makin meningkat tapi tiada kesan positif yang berlaku dari masa ke semasa yang terdekat. Jadi, dokotr telah membuat keputusan untuk merujuk kes Aisyah ke IJN. Masa tu saya seronok yang amat tak tau nak bagitau dah. Nak meloncat ada, nak tersengih ada…semua ada. Bukan apa, saya lebih suka rujuk kes ke sana terus dari dok tunggu kat PPUM dengan rawatan ubat-ubatan yang tidak berkesudahan.

Jadi tak lama lepas doctor inform pasal rujukan kes tu, dia terus call IJN untuk buat temujanji klinik IJN yang pertama untuk Aisyah. Dapat la 21/10/10 untuk temujanji pertamanya. Pihak PPUM menghantar kami berdua dengan di-ascot oleh seorang nurse comey iaitu misi Mai atau nama FB dia ialah misi maisi. Hehehe. Baik tau misi ni. Dan di-ascot oleh seorang MO yang comel lote iaitu dr Nik. Sheikh pun dapat ikut sekali dan kami berempat dapat la naik ambulan. Ne no ne no memecut ke jalan Universiti ke jalan Tun Razak. Perak la pulak kan…hahahaha.

Sampai di IJN, dipendekkan cerita, kami berjumpa dengan Dr Leong di klinik paedatrik. Selepas di buat echo, Dr Leong suruh nurse panggilkan Dr Arfah senior disitu untuk mengesahkan pemeriksaan dia. Doktor tu pun datang kejap jer sebab bilik dia kat sebelah, selepas pemeriksaan itu, dia pun cakap memang confirm dan perlu disubmit kes ke IJN. Lepas Dr Arfah tinggalkan kami, Dr Leong diam seketika seperti sedang mencari-cari kata-kata yang sesuai untuk bercakap. Dia dengan nada yang agak perlahan bertanya kepada kami adakah kami faham kenapa Aisyah dirujuk kes ke IJN. Kami berdua menggangguk tanda faham dan menceritakan apa yang PPUM telah dapati dan apa yang telah PPUM rawati Aisyah. Sekali lagi dia mendiamkan diri. Kemudian dengan wajah yang seperti sedang meng-control perasaan sedih, dia memberitahu dia dan Dr Arfah tadi menjumpai 4 lubang. Lubang yang terbesar sekali ialah 14mm iaitu bersamaan 1.4mm dan lubang itu adalah besar untuk jantung bayi berumur 2 bulan. Lubang seterusnya ialah 8mm, 3.5 mm dan 3mm.

Aduhai sayang…. Hati kami hancur sebab di PPUM kami dapat tahu cuma ada 3 lubang tapi disini dijumpai 4 lubang dan terbesar ialah 14mm! Di PPUM kata terbesar 7-8mm saja, ini dah dua kali ganda! ya Rabbi… ya Rabbi… ya Rabbbbbbi… dugaan sungguh dasat untuk kami telan wahai ya Allah.

Dan seperti biasa, reflek semulajadi dari kami berdua hanya tersenyum. Namun sewaktu saya cuba untuk bertanya akan betapa serius keadaan Aisyah, saya menangis juga. Air mata tak dapat lagi saya tahan di depan Dr dan Sheikh. Dada yang ketat setelah sebulan lama menahan tadahan, akhirnya bagai empangan yang pecah. Membuak-buak air mata keluar. Aduhai…. Tak tertahan lagi daya saya untuk menjadi tabah. Sheikh pun diam saja sambil mengusap belakang saya. Tiada kata-kata pujukan menyuruh saya berhenti menangis kerana dia juga menahan dirinya supaya jangan menangis.

Dr Leong memang baik, walapun diluar bilik ada berpuluh ibu bapa dan pesakit menunggu giliran diperiksa, dia tetap sabar dan memberi kami ruang untuk tenangkan perasaan sebelum dia bersambung penjelasan.

Saya gagahi juga bertanya apakah tahap serius Aisyah sekarang dengan tergagap-gagap. Dr Leong kata kes Aisyah adalah tahap amat serius dan pembedahan perlu dilakukan dengan kadar segera. Maksudnya, contoh sekiranya ada pesakit yang tidak dapat dibedah pada hari esok, Aisyah akan dipanggil pada hari ini untuk mengantikan slot pembedahan itu.

Hah, saya pun tak tahu bagaimana saya nak gambarkan perasaan saya tatkala itu. Kami hanya dapat menganggukan kepala tanda setuju. Tapi disamping perasaan yang bercampur aduk itu, ada juga perasaan gembira kerana Aisyah akan dibedah secepat mungkin. Jadi, dia boleh la cepat baik. Ya betul! Kami suami isteri bersepakat dengan perasaan itu.

Cepat bedah, cepat selesai, cepat sembuh, jadi cepatlah balik rumah. Cepat segala-galanya berlalu~~~

Maka rombongan kami yang di-escort nurse dan doctor itu pun pulanglah kembali ke PPUM dan bersedia untuk dipanggil IJN bila-bila masa. Saya pun sesampainya di PPUM get ready la packing konon. Hahaha. Excited pulak tetiba. Dan kami berdua pun mulalah menunggu ~~~~

Berbalik kepada tajuk perpindahan, ada satu lagi perpindahan sehari selepas temujanji AIsyah ke IJN iaitu pada 23/10. Perpindahan yang mengembirakan iaitu perpindahan dari rumah sewa ke rumah yang kami beli sewaktu mengandungkan Aisyah… Aisyah, awak dapat rumah baru… hehehehe. Akan tetapi dukacita sekali saya dan Aisyah tak dapat tolong papa angkat barang sewaktu perpindah…(gembira sebenarnya..sebab tak perlu penat angkat barang). AJK Pindah yang memberi jasa yang amat-amat-amat besar sekali ialah Tok Wan Sheikh, Mak Ngah Intan, Pak Ngah Syam dan tak lupa juga penolong yang paling bekerja kuat hari itu ialah Syami dan juga Eizu Azwandi sahabat lama kekasih siapa? tak tahulah.... hehehe.

Mereka amat bersungguh-sungguh menge-clearkan apartment kami sampai cuci calat. Ditambah pulak dengan idea ayah mertuaku yang bernas. Nak tau apa dia? Hrm…sejak dia sampai kl untuk bantu berpindah, sheikh kata ayah asyik ajak pi kedai nak beli tali saja…ingatkan dia nak ikat kotak ka, ikat plastic ka… rupa-rupanya dia nak ikat…… untuk lebih jelas lagi, sila lihat gambar-gambar sewaktu perpindahan tersebut.

































Lepas tengok gambar yang kurang jelas tu, boleh nampak tak kretiviti ayah mertua ku? Angkat barang pakai tali dari tingkat 2 sampai ground floor. terbaik bukan? hehehhe.

TETAPI perpindah yang paling best giler tak tau nak bagitau ialah pada 23/10 hari sabtu iaitu 2 hari selepas temujanji IJN, doctor Leong dah call wad PPUM!!!!!!!!

Aisyah perlu ke IJN pada 24hb untuk masuk wad dan akan dibedah pada 25hb! Yahooooooooooooo!

Seronok tak terkira ya Allah! Alhamdulillah. Cepatnya rezeki Aisyah datang. Tak perlu lagi mama menanti sebab pernantian itu satu penyiksaan! Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah. Sujud syukur kami lepas dengar berita itu. Maka tidurlah kami dalam sengihan yang melampau pada malam itu kerana keesokan harinya kami akan ke IJN…. Yea yea.

Next chapter saya akan ceritakan pembedahan Aisyah di IJN ok.
1 Jun 2011

Chapter 11 : Aisyah Dimasukkan Ke PICU PPUM

Maaflah sebab membuatkan semua tertunggu chapter ni sampaikan hampir sebulan. Bukan apa, saya sibuk dengan pembedahan Aisyah yang ke 4 selama 2 minggu dan kemudian lepas discharge dia kena demam campak pulak. Jadi, memang tak sempatlah nak menaip setelah penat menjaga 2 orang anak siang dan malamnya....

Ok, sambungan kepada chapter sebelum ini saya akan menceritakan bagaimana Aisyah akan menjadi semakin teruk dan bagaimana dia menghadapi saat-saat suspend sehinggakan dia masuk ke PICU PPUM.

Selepas darah Aisyah diambil untuk menjalani ujian, saya terpaksa menunggu 3 hari tanpa mengetahui apa sebab musabab Aisyah jadi begini. Dan selama 3 hari itu jugaklah saya terpaksa bersabar mengelap muntah-muntah Aisyah selepas dia minum susu atau batuk-batuk. Suction dia pun sudah makin kerap iaitu setiap sebelum menyusu. Memanglah kalau nak diikutkan sedih tengok Aisyah menangis bila suction tapi kalau tak buat, dia akan makin susah bernafas sebab kahak memang banyak. Lepas buat suction saja, dia akan tidur lena dan selesa.

Dan selama 3 hari jugalah semasa doktor-doktor buat round waktu pagi dan petang, mereka tidak beritahu apa punca sakit Aisyah, apa yang mereka bagitau ialah, mereka akan monitor dan monitor dan suruh buat banyak suction untuk Aisyah. Bila saya soal, mereka berbalik kepada asal, kita-akan-monitor. hmm...sedih juga lah kan, takan kita nak tunggu dan tunggu saja sedangkan Aisyah semakin penat. Semua doktor dah jadi tak ramah macam dulu. Doktor yang happy go lucky inform jantung Aisyah berlubang dulu pun tak senyum dah setiap kali melawat Aisyah. Diam dan masam saja.

Maka setelah genap 3 hari barulah doktor-doktor datang ke katil dengan senyuman. Mereka kata mereka dah tahu punca iaitu lung infection. Sebab tu dia batuk dan kahak banyak. Infection yang dia dapat tu pulak adalah jenis tak ada antibiotik. Antibodi Aisyah kena fight sendiri infection tu dan mereka hanya dapat membantu dengan kerapkan lagi suction. Doktor kata sebelum ni mereka syak ada 2 kemungkinan Aisyah semakin sakit, 1. lung infection dan 2. heart failure kerana ubat tidak memberi kesan lagi kepadanya. Akhirnya hasil dari ujian mereka dapati positif lung infection atau jangkitan paru-paru. Aiseyman, kalaulah heart failure, takanlah 3 hari baru depa nak bertindak...agak tidak efficient la kalau macam tu. Mesti keadaan Aisyah makin teruk lepas tu. Nasib baiklah lung infection. haihhhh....

So, doktor tu kata paling minimum nak baik ialah 2 minggu dan paling max ialah berbulan-bulan. Semuanya terpulang pada antibodi Aisyah. Apa yang mereka boleh membantu ialah dengan berikan nebulizer dan suction untuk mengurangkan kahak. Kahak adalah penyerang utama dan akan merebak dengan cepat sekali.

Maka bermulakah treatment untuk infection ini. Seperti yang dijelaskan tadi, sebelum suction, Aisyah akan diberi gas atau nebulizer untuk mencairkan kahak. Selepas itu barulah akan dibuat suction atau penyedutan kahak. Kalau tak diberi gas, kahak dia memang pekat dan tak akan keluar banyak. Bila kahak kurang, cepatlah sikit Aisyah nak sembuh...Gitulah kata doktor. So far semasa diberikan gas, Aisyah tak meronta macam budak-budak yang lain. Biasanya dia akan 'menikmati' pemberian gas itu dan akan lena dibuai mimpi diulit mama Intan. :)


Aisyah kena pakaikan nebulizer jenis helmet angkasawan ni sebab dia baby lagi, tak boleh pakai yang jenis mask mulut tu.


Tidur nyenyak saja sampaikan kesian nak kejutkan untuk buat suction



Video Aisyah kena sedut kahak selepas nebulizer.


Setelah beberapa hari Aisyah dok fight infection ini, kami terima lagi satu berita yang kurang menyenangkan iaitu paru-paru sebelah kiri Aisyah sudah collapse, atau menguncup dan tidak mahu kembang. Semua itu adalah akibat daripada infection yang dia alami. Jadi doktor pakar paru-paru dan juga menrangkap doktor wad, Dr. Anna berkata dia mahu Aisyah pakai BiPaP. Tak sempat 5 minit kami berbincang, nurse sudah sampai dengan mesin BiPaP. Alamak, ini yang saya tidak gemar ni sebab memang kesian gila tengok baby pakai benda tu. Lepas tu doktor tu terus pergi. Saya pun terpinga-pinga la kenapa Aisyah kena pakai BiPaP. Bila tanya nurse, nurse pun kurang pasti. Diorang ikut arahan jer.

Mula-mula pakai, Aisyah meronta-ronta tak mau sebab BiPaP tu akan menghembus udara masuk ke dalam mulut dan hidung. Nurse cakap, tak pa, paksa dia kejap. Biasanya baby akan berhenti meronta lepas 15 minit. So saya pun bedungkan Aisyah supaya dia tidak meronta-ronta sangat. Tapi Aisyah tetap menangis tak berhenti-henti. Saya ingat lagi jam waktu tu 6.15 petang. Nurse tu kata 15 minit, so 6.30 petang nanti Aisyah akan berhenti lah menangis. Tapi saya tunggu punya tunggu, sampai jam 7.00 malam Aisyah tetap menangis sampailah dia keletihan hingga tertidur. Lega hati saya. Terus saya buatkan susu untuk Aisyah.

Masa saya tengah masukkan susu ke dalam tiub, tiba-tiba Aisyah terjaga dan menangis lagi. Terus dia tersedak. Masa tu bibir dia kebiru-biruan. Terkejut sungguh saya tapi saya tak panik. Saya perhatikan lagi betul ke bibir dia biru...Lepas dah confirm, baru saya panggilkan nurse cakap Aisyah biru. Nurse pun datang check. Dia perhati Aisyah yang tengah menangis betul-betul.

Lepas tu terus dia buat suction. Saya tengok nurse tu rilek jer, tak panik pun. Maybe Aisyah tak biru dan dia buat suction maybe sebab Aisyah tersedak. Berkali-kali dia buat suction kemudian dia pergi ke meja kaunter nurse inform apa ntah kat nurse sorang lagi. Kemudian dia datang balik ke katil Aisyah dan buat suction lagi. Kesian Aisyah, dia menangis tak henti-henti.

Tak lama lepas tu nurse kat kaunter tu menjerit, hari ni Jumaat, doktor dah balik. Doktor Lim (doktor on call) tengah mandi. Nurse yang tengah buat suction tadi berpaling dan balas balik, suruh diorang datang cepat!. Waktu tu, jantung saya Dup-Dap-Dup-Dap...mak ai, takan serius kot. Saya terus risau. Kemudian dalam 5 minit tu, datanglah Dr Lim berlari-lari masuk dalam wad dan bertanya kenapa. Nurse tadi cakap, Aisyah tersedak dan biru. Dia dah buat suction dan buang semua susu dalam perut. Kemudian tak lama lepas tu datang pulak doktor pakar paru-paru yang suruh pakaikan Aisyah BiPaP tu berlari-lari dengan pasukan doktor dia. Dia pun tanya benda yang sama pada nurse tadi, lepas nurse tu explain dia suruh nurse tu buat suction sekali lagi dan dia nak tengok sendiri.

So sekali lagi la Aisyah kena suction...memang habis segala susu yang ada dalam perut dia. Lepas suction, doktor berikan topeng oksigen, kemudian suction lagi, kemudian oksigen balik...begitulah yang berlaku dalam masa 20-30 minit. Sampailah Aisyah dah tak biru semasa menangis. Pada masa yang sama, Sheikh pun baru sampai dari office. Kebingungan dia tengok ramai orang kat katil. Saya terangkan pada dia yang Aisyah kena pakai BiPaP kemudian tersedak susu sebab tu ramai datang sebab Aisyah biru. Sepanjang tempoh panik tu saya pegang erat-erat tangan dan kaki Aisyah. Proses menyelamatkan nyawa dia tu memang sibuk tapi saya tak akan sama sekali lepaskan dia. Biar pun ngeri tengok keadaan dia yang lemah kebiru-biruan tu tapi saya tekad nak duduk dekat dengan dia untuk melalui saat-saat getir itu.

Bila sudah selesai suction tu, doktor tu suruh pakaikan balik BiPaP dan hantar dia ke ICU atau PICU dengan segera. Saya time tu merayu kat doktor tak nak pakaikan Aisyah BiPaP sebab nanti dia biru dan meronta-ronta. Tapi doktor tu kata kali ni diorang akan bagi ubat tidur pada Aisyah dan BiPaP tu penting supaya mesin tu dapat mengembangkan kembali paru-paru dia yang collapse. Jika tidak, paru-paru dia tak kan kembang dan membahayakan.

Tambah doktor Anna lagi, lagipun hari tu hari Jumaat, dan esok lusa dah weekend. Ramai doktor pakar bercuti dan kalau berlaku lagi sekali emergeny macam ni nurse kat wad Paeds 2 tak sempat nak bertindak sebab 1 nurse busy kena jaga 4-5 patient. Nurse di PICU berpengalaman, ada banyak mesin canggih dan seorang nurse akan perhatikan Aisyah 24 jam. Keselamatan dia lebih terjamin. Doktor Anna pun cakap, mummy pun nampak pucat dan keletihan sangat sebab dah hampir 3 minggu kat hospital. Baik Aisyah masuk PICU dulu dan mummy balik rumah untuk rehat juga. Time tu aku relakan saja. Betul jugak kata doktor tu, saya bukannya pandai jaga Aisyah sewaktu dia pakai BiPaP tu. Kalau jadi apa-apa nanti, saya juga yang susah hati.

Aisyah di wad Paeds 2. Keletihan selepas struggle dan suction


Aisyah di wad Paeds 2. Sudah diberikan ubat tidor.


Aisyah di wad Paeds 2. Gambar last sebelum dihantar ke PICU


Aisyah di wad Paeds 2. Bersama mesin BiPap


Aisyah di PICU. Curi-curi tangkap gambar ni sebab dalam PICU tak boleh bawa kamera.


Aisyah di PICU. Curi-curi tangkap gambar lagi.


Selama 5 hari Aisyah di PICU, barulah paru-paru dia berkembang sedikit dan sudah boleh turun ke wad Paeds 2 balik... Leganya hati. Rindu sangat nak peluk dia. Ya lah, kat PICU mana boleh peluk-peluk. Tengok ja sambil belai-belai tangan dan kaki. Bila dah masuk wad biasa, barulah boleh peluk-peluk gomol-gomol...hehehe.

Next chapter saya akan ceritakan apa kesan apabila Aisyah sudah tidak memberi tindak balas ke atas ubat-ubat jantung yang diambil. Terima kasih kerana membaca :)
 

Blog Template by BloggerCandy.com